A'faf Wahida

Jumaat, 4 Februari 2011

Jom Selawat Sayang....

Sudah menjadi kebiasaan saya untuk melihat beg sekolah Iqbal dan Imran selepas makan malam. Kadang-kala mereka tidak mahu memberitahu saya sekiranya mereka ada kerja rumah. Saya pernah terkena dahulu. Puas saya bertanya kepada Iqbal, mengapa dia enggan ke sekolah pagi itu. Rupa-rupanya kerja sekolahnya belum siap! (B...aru tadika pun sudah ada kerja sekolah!)

Sambil memeriksa beg sekolah, saya berkata kepada Iqbal, “Tadi di sekolah belajar apa, abang?”

“Kita belajar nasyid selawat, mama. Best! Mama hendak dengar?”

Saya menganggukkan seraya tersenyum, “Okay, satu, dua tiga!”

“Sollallahu ‘ala Muhammad, sollallahu ‘alaih wasallam….” bersemangat Iqbal berselawat satu rangkap.

“Alhamdulillah, pandai anak mama. Abang tahu, kalau kita selalu berselawat kepada Nabi Muhammad SAW, Allah bagi banyak pahala…”

“Kenapa Allah bagi banyak pahala, mama?”

“Allah beri banyak pahala kerana kita ikut perintah Allah. Allah suruh kita berselawat kerana Nabi Muhammad SAW itu nabi yang terakhir dan manusia yang paling mulia. Nabi Muhammad sudah banyak berkorban untuk kita untuk menyampaikan agama Islam kepada semua manusia,” saya menerangkan kepada Iqbal.

Dahi Iqbal berkerut-kerut cuba memahami penjelasan saya, “Nabi Muhammad berkorban? Macam mana itu, mama?”

“Abang ingat lagi cerita mama tentang Nabi Muhammad yang kena baling batu di Ta’if semasa cuba mengajak orang ramai beriman kepada Allah? Ingat lagi semasa orang-orang Quraisy tidak bagi keluarga Nabi Muhammad SAW beli makanan sampai isteri Nabi, Siti Khadijah dan pakcik baginda Abu Talib meninggal dunia?”

“Ingat, kasihan Nabi Muhammad kena pu..pu..” Iqbal menggaru-garu kepala.

“Kena pulau la sayang! Nabi Muhammad SAW dan keluarga baginda kena pulau sebab baginda mengajak orang ramai kepada Islam. Baginda berkorban untuk memastikan Islam sampai kepada kita sekarang,”

“Ooo…Apa lagi yang Allah bagi mama? Takkan pahala saja?”

“Bagi orang yang selalu berselawat, Allah akan ampunkan dosanya, Allah beri rahmat dan keberkatan di dalam kehidupannya. Allah akan selalu tolong dia bila dia susah. Di padang Mahsyar nanti, Nabi Muhammad sendiri akan tolong orang-orang yang berselawat ini supaya mereka cepat dapat masuk syurga…”

“Kalau macam tu, abang pun nak selawat banyak-banyak. Nanti mesti Allah boleh tolong abang, kan?”

“Tolong apa abang?”

“Tolong bagi basikal baru kat abang, boleh kan, mama?”

Saya tergelak mendengar komen Iqbal yang bersahaja. Di bulan Rabi’ul Awwal ini, marilah kita memperbanyakkan selawat kepada Junjungan kita, Nabi Muhammad SAW bersama anak-anak. Mudah-mudahan dengan berselawat, kita dapat memupuk rasa cinta anak-anak kepada Baginda Rasulullah SAW.

Kelebihan Berselawat

Antara hadis-hadis yang menyatakan tentang kelebihan selawat ke atas Rasulullah SAW yang saya petik dari sini:

1. “Barang siapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, ia akan memperolehi syafaatku pada hari kiamat. ” (Riwayat Tabrani).

2. “Barang siapa berselawat kepadaku di sisi kuburku maka aku mendengarnya, barang siapa berselawat kepadaku dari jauh maka, selawat itu diserahkan oleh seorang malaikat yang menyampaikan kepadaku dan ia dicukupi urusan keduniaan dan keakhiratan dan aku sebagai saksi dan pembela baginya. (Riwayat Al Baihaqi dan Al Khatib).

3. “Barang siapa berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali selawat dan Allah menghapuskan sepuluh kesalahan (dosa) dan mengangkat sepuluh darjat kepadanya.” (Riwayat Ahmad, Nasai dan Al Hakim).

4. Dari Ubai bin Ka ‘ab: “Aku bertanya, wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku memperbanyakkan selawat, maka berapakah aku jadikan untukmu dari selawatku? Nabi bersabda: Apa yang kamu kehendaki. la berkata: kataku: “Seperempat.” Sabda Nabi: “Apa yang kamu sukai dan jika kamu tambah maka itu yang lebih baik bagi kamu.” Kataku: “Apakah sepertiga? ” Sabda Nabi: “Apa yang kamu sukai, jika kamu tambah itulah yang lebih baik bagi kamu.” la bertanya: “Apakah aku jadikan selawatku buatmu semuanya.” Nabi bersabda: “Jika demikian maka dicukupilah cita-citamu dan diampuni dosamu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi dan Al Hakam).

5.”Berselawatlah kamu kepadaku, kerana selawat itu menjadi zakat (penghening jiwa pembersih dosa) bagimu.” (Riwayat Ibnu Murdawaih).

6. “Barang siapa berselawat kepadaku dalam sehari seratus kali, maka Allah mendatangkan baginya seratus hajat, tujuh puluh untuk akhirat dan tigapuluh untuk dunianya. ” (Riwayat Ibnu Majar dan Jabir).

7. “Barang siapa berselawat kepadaku dalam sehari seribu kali, maka ia tidak akan mati sehingga ia digembirakan dengan syurga.” (Riwayat Abus Syaikh dari Anas).
8.”Orang yang bakhil ialah yang bila disebut namaku kepadanya, lalu ia tidak mahu berselawat kepadaku. (Riwayat Tirmizi).

Di dalam kitab Ibnu Farhun Al Qurthubi dinyatakan bahawa membaca selawat kepada Nabi Muhammad SAW mengandungi sepuluh faedah dan mendatangkan kemuliaan, iaitu:

1) Memperolehi selawat dari Allah.
2) Memperolehi syafaat dari Nabi Muhammad.
3) Mendapat pimpinan dari malaikat yang baik-baik.
4) Menghapuskan dosa.
5) Mendapat pertolongan
6) Tercapai keperluan hidup.
7) Mempunyai pembeza dengan orang munafik dan kafir.
8) Memperolehi nur zahir dan batin.
9) Mendapat keselamatan dari azab neraka, membolehkan memasuki syurga.
10) Memperolehi ucap selamat dari Allah.

Banyaknya kelebihan berselawat. Jom penuhi hidup kita dengan selawat!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan